Isnin, 29 Jun 2009

SURAT 41 : MEMAHAMKAN KALAM TUHAN!

Assalamualaikum,


Allah sedang menguji kita!

Pagi ini, mentari yang sepatutnya memayungkan perabung alam Canberra hilang ... dibaham oleh awan kelabu, kelam. Gemawan hitam yang terlihat mahu membaham sesiapapun, sambil memuntahkan airnya yang menimpa jadi bah-bah besar.

Saya resah.

"Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." (QS. 2:155)

Laluan di bulatan besar yang punya 3 jalan berpecah; Melrose Drive membawa ke pekan kecil, Woden, Yamba Drive, mengutus saya pulang ke 'kampung' saya, Phillip, dan Yarra Drive yang menghantar ke daerah seperti Yarralumla, atau Civic sesak, ya seperti fikiran yang sedikit sesak, dibolak-balik dengan bimbang yang entah tiba-tiba.

Mungkin ada kemalangan ... harapnya tidak, bisik saya.

Ingatan singgah, saat memandu yang bertunda-tunda itu kepada anakanda, dan isteri.

Lapor Kak Kam, penjaga anak saya, Jumaat lepas, "Ilham demam. Makan kurang, nampak lemah sangat hari ini." Sungguh, dia kurang bermaya sekali. Reaksinya sewaktu nampak saya sampai tidak seperti selalu, membara, bersemangat, dan mahu bercerita itu dan berkongsi pengalaman-pengalaman barunya. Tetapi, Jumaat yang lepas itu, mungkin kerana demam, senyumnya hilang, suaranya mati. Kerana itu, ada gundah tercipta!

"Tak jadi pergi makmal petang ini. Rasa macam nak demam, sakit kerongkong dan rasa pening kepala. Abang, tolong picitkan, boleh?"

Begitu pinta isteri, petang semalam. Mulanya dia mahu ke universiti, menyediakan kerja-kerja eksperimennya, tetapi kerana seperti mahu demam, rancangan itu jadi batal. Demamkah?

Usai Subuh pagi tadi pula, KakSu, senior PhD di sini mengadu ikut YM, "Danish dan Damya kurang sihat. Suhu badan panas, tak mahu surut-surut. Nanti siang sikit nak 'bulldoze' ke Health Centre". Oh Tuhan, ketakutan apakah yang sedang Kau campakkan kepada kami di sini? Ujiankah? Kerana dengan ujian itu, maka iman kami naik. Atau balakah? Bala yang datang justeru kami ini hambaMu yang sering berlingkar seputar maksiat dan dosa, Tuhan.

Ini kali ketiga saya menyambut musim dingin. Kami sampai akhir Jun 2007, dan musim dingin menadah tangan menerima kami. Tetapi, Alhamdulillah tiada keresahan seperti hari ini. Ilham yang kurang lebih 4 bulan waktu itu, tiada sebarang masalah pun. Cuma, saya sedikit batuk-batuk. Kali kedua memesrai kedinginan kutub selatan pun, Alhamdulillah berlalu dengan damai dan senang-senang. Kalau ada pun ... selsema sedikit-sedikit, dan sehari-dua, kebah sembuh. Tetapi, kali ini ... kali ketiga, aduhai Tuhan! Saya on-off, sekejap sihat, kemudian kembali selsema, sakit tekak dan tak selesa sekali.

"Kalau boleh macam nak balik Malaysia sekejap. Ataupun, kalau tak balik pun ... pergi bercuti ke tempat yang panas sikit."

Hajat saya, yang saya suarakan kepada isteri. Dan isteri hanya membalas dengan senyum yang sukar dimengertikan.


Pagi ini, putaran roda kereta, kerana rupanya ada kemalangan kecil sebuah motosikal kuasa besar yang terbabas sendiri, jalanraya jadi macet dan tergagap-gagap. Sambil fikir masih tidak stabil, anak mata sempat singgah pada Cookatoos sekawanan yang sedang enak-enak di pohon-pohon oaks di tengah bulatan besar, tenangnya dia! Dan, dalam dakap mesra dingin, dalam serkup resah demam babi ini, saya merafak doa kudus kepada Tuhan ... mudahan, semuanya selamat!

Jumaat, 26 Jun 2009

SURAT 40 : KERANA SAYA BAPA MODEN?

Assalamualaikum,

"Abah, sakit ..."

"Mana?"

"Sini."

"Meh, Abah tolong urutkan ..."

Pagi tadi, jam 4 lebih sedikit saya bangun untuk tengok Piala Konfiderasi; Brazil bertemu Afrika Selatan. Isteri, kerana hari ini dia mahu berpuasa ganti, bangun untuk bersahur. Tumpang sama bangun, si cilik saya, sambil mengadu-adu. Saya belek di pelipat lututnya - tak ada apa-apa!

Kemudian, sambil saya mengusap-usap kakinya, dia jendera. Lengan kanan buat jadi bantalnya, sambil merenung aksi-aksi bola akal terasa sayu pula jadinya.

Ah, kita sering terlupa dan ambil ringan!

Kalau terlupa, mari sama-sama kita ingat, dan kemudiannya berubah, sepatutnya!

"Berapa masa kita untuk Ilham?"

Tanya saya pada isteri.

Dia diam.

5:30 petang, usai kerja saya ambil Ilham di rumah penjaganya. Sementara sembang-sembang dengan Aunty dan Uncle yang menjaga Ilham, mendengar cerita tentang kerenah Ilham, perkara-perkara baru yang Ilham belajar, sempatlah saya memesrai Ilham sekitar 30 minit.

Dalam perjalanan pulang, Ilham, kerana seharian asyik bermain tanpa tidur, di dalam kereta lagi Ilham sudah terlelap. Selalunya sampai pagi esoknya. Malam hari, kalau nasib baik akan bangun sebentar, dalam 30 minit, untuk bermain. Itupun, kalau bernasib baik!

Kerana itu akhir-akhir ini, saya sangat rindu dengannya, bermain dengannya, atau paling tidak mendengar celoteh atau ketawanya. Bukan kerana tidak bertemu, hidup terpisah, tidak! Malah, saya dan anak saya bertemu setiap hari. Tetapi, pertemuan itu, kebersamaan kami tidak hidup, kerana anak saya lebih sering tidur awal. Kalau ada masa lebih pun, hujung minggu saja. Oh, tidak salah bukan untuk rindu, meski selalu bertemu pun? Ya, kerana saya hanya ada 30 minit bersama anak saya.


Lalu, berapa lama masa kita untuk anak kita, atau anak-anak kita? 30 minit? 1 jam? Ya, kita selalunya mengambil mudah, bukan? Alah, anak kita ... Tetapi, kalau direnung-renung, kita ada 8 jam untuk merenung muka ketua kita, kawan sekerja, dan cuma ada kurang lebih sejam untuk anak kita. Aduhai!

Sedangkan dari sudut kemahiran kekeluargaan, ada menyebutkan bahawa usia antara 3 bulan hingga 3 tahun adalah usia yang sangat sesuai untuk diisikan dengan sesuatu. Ibaratnya begini, usia 'emas' itu, minda anak ini seperti gelas kosong, apa yang dituang masuk akan terisi cantik di dalam 'gelas' fikirannya. Tetapi ... apa yang dapat dituang kalau masa untuk saya bersama anak saya cuma kurang daripada 1 jam, aduhai, aduhai.

Ulama pula, ingat-ingat-lupa saya, pernah memecahkan usia anak kepada 3 peringkat dengan 3 penekanan yang berbeza. Usia 1 hari hingga 7 tahun, jadikan anak sebagai raja. Dilayan baik, diajar yang baik-baik, dimesrai dan dididik. Usia 7 hingga 20 tahun sebagai seorang ahli penjara atau musuh. Anak disuruh itu, disuruh solat, dilarang ini, dilarang bermalas-malasan, misalnya. Pendekkata, pada usia 7 hingga 20 tahun banyak do dan don't. Dan usia 21 tahun dan ke atas anak adalah teman kita, bersembang dengannya, terbuka fikir dengannya, malah berjenaka pun.

Oh, untuk usia 1 hari hingga 3 tahun itu, yang layanannya seperti seorang raja itu, kita hanya ada masa antara 30 minit hingga 1 jam, oh Tuhan!


Sambil merenung Ilham yang jendera nyenyak, sering hati saya jadi sebu dan pilu. Memegang rambut emasnya, saya selalu bertafakur, "berapa masa yang abah habiskan untuk bersama denganmu?"

Dalam selalu doa saya: "jadikanlah anakku anak yang soleh, Ya Allah." Rupanya di luar kotak sedar, saya hanya ada lebihan 30 minit - 1 jam untuk mendidikinya menjadi anak yang soleh, cukupkah?

Saya masih berfikir, begitukah kesempitan masa hari ini? Atau kerana saya masih seorang bapa yang harus banyak belajar dan menuntut.

Selasa, 23 Jun 2009

SURAT 39 : BERCUTI UNTUK BEKERJA!

Assalamualaikum,

Di luar sedar, separuh pertama 2009 sudah dilalui. Sedangkan saya masih belum menggunakan seharipun cukup tahunan. Itu belum ditambah dengan cuti-cuti ganti. Kerana saya tak dibenarkan untuk dibayar kerja lebih masa, jadi ia digantikan dalam bentuk hari bercuti. Dicongak-congak hampir 30 hari lagi, aduh! Kalau tak kerana isteri yang sibuk, pasti kami akan ke mana-mana, untuk bercuti, Hobart di Tasmania, atau silap-silap di tanah indah Christchurch yang sentiasa diimpi-impikan.

"Apa susah, cutilah! Gunakan masa cuti itu untuk siapkan novel."

Isteri saya menitipkan cadangan pagi tadi. Ya, pagi yang selalunya kami berebutkan sekeping cermin muka yang usang. Cermin dengan rak kayu tua yang telah berjasa seribu, yang kemudian setelah kami selesai di sini, entahkan diberi lagi kepada orang lain, atau menjadi habuan tempat sampah. Saya mengemaskan ikatan tali leher, dan isteri mengenakan pin kelongsang tudungnya. Begitulah berpagi-pagiannya kami di sini, ya, sekali lagi, di luar sedar esok 24 Jun 2009 memberi makna, sambutan ulangtahun kedua kami di daerah jauh Canberra ini.

"Tulis novel?! Bagus jugak tu ..."

Azam yang saya pasakkan untuk tahun 2009 begitu melangit tinggi. Saya sudah 1/3 jalan untuk novel kedua yang mengambil latar Canberra, seputar dunia pelajar dan perjuangan manis-pahitnya mereka di tanah orang. Terinspirasi lewat pergaulan saya dengan adik-adik di sini. Kemudian, saya ada merangka untuk sebuah Travelog Dakwah dan Kehidupan. Tulisan-tulisan santai yang berisi yang mahu saya kumpulkan, dan dihulurkan kepada mana penerbit yang sudi dan berkenan. Dan, yang terbaru, di luar jangka, Rynsa sudah mendesak saya untuk koliborasi Cinta Sofeanya.

Hujung minggu lepas, dalam gerimis yang mengundang, saat saya jenguk ke kotak pos - oh, sebungkus novel tebal. Terima kasih Rnysa! Novel percuma (yang sangat saya hargai itu!) bukan saja-saja, melainkan di sebelah belakangnya menghantar makna-makna - Rynsa sungguh-sungguh berhajatkan koliborasi. Nampaknya, saya telah dihimpit ke lembah dilema. Dan, saya rasa tak boleh menolak lagi!

Tetapi, semuanya sangat padat dan membebankan!

Kalau anda juga mahu menulis, dan mahu buku anda dipasarkan semasa Pesta Buku 2010, April tahun depan, begini nasihat saya: paling kurang karya anda mesti sedia diedit sebelum 1 Januari 2010. Itu tarikh paling akhir. Dan, saya harus berusaha untuk memenuhkan tarikh keramat itu: 31 Disember 2009. Kalau tidak, karya saya akan kesasar lagi tarikh peluncurannya.

Ya, bercuti, dan mengerah seluruh kudrat untuk menulis - satu idea yang sangat baik! Oh, nampak-nampaknya bercuti untuk bekerja lah saya kalau begitu! Doakan saya!

Isnin, 22 Jun 2009

SURAT 38 : SEMANGKUK SUP SERINCIT KASIH

Assalamualaikum,

Dalam mengupas perihal Golongan Yang Hidup Untuk Dunia yang saya kutip dalam tulisan besar Tuan Fathi Yakin, saya menyebutkan begini kepada adik-adik,

"Kita tidak boleh memikirkan hal sendiri saja, survival perut dan bawah perut semata-mata, seperti kelaziman manusia Melayu-Islam yang mutakhir."

Saya pancarkan lensa mata kepada adik-adik yang muda-belia, yang sedikit waktu lagi, usai pengajian mereka, balik ke tanah bonda yang mengisi jawatan-jawatan utama. Sebahagian mereka terlihat mengangguk-angguk. Saya harap mereka faham, menghadam, dan menyemat kemas ingatan saya ini, sampai bila-bila, sampai saat mereka duduk di kerusi empuk jawatan terbilang sekalipun.

Sambung saya,"kita harus fikirkan kelangsungan dan perjuangan ummah juga. Bahwa, itulah golongan yang berfikir, kehidupan dunia adalah ladang tuaian untuk mendapat buah-buah ranum di syurga Tuhan."

Saya membawakan perbandingan, antara perniagaan Muslim yang mungkin lebih mahal 20 sen berbanding perniagaan Non-Muslim. Kata saya, "mudah-mudahan 20 sen yang kita laburkan itu akan memberi pulangan dalam bentuk yang lebih besar. Perniagaan Muslim itu akan berkembang maju, harapnya, dan mungkin tuan yang Muslim itu akan boleh memberi sedekah, infak yang lebih untuk kerja-kerja dakwah. Ya, puncanya apa? 20 sen kita!"

"Kalau mahu beli kek, beli kek di Cheesecake Shop di Belconnen. Pertama, InsyaAllah seratus-peratus halal kerana tuannya Muslim Pakistan. Kedua, sudah terbukti. Setiap kali Ramadhan, tuannya akan membuat ratusan salinan kalendar waktu solat dan diberi percuma di Masjid Canberra. Bayangkan apa lagi yang akan Tuan Cheesecake Shop Belconnen akan sumbangkan kepada masjid kalau perniagaannya makin maju makin maju kerana semua Muslim Canberra membeli kek dari kedainya?"

Adik-adik nampak bersemangat, terlopong, dan majlis mulai panas di bilik yang kecil. Luar, dingin tetap menjala malam bukat di tanah Canberra. Indera bau menangkap aroma sup ayam yang baru dipanaskan semula, akan dicicahkan dengan roti potong, aduhai, nikmatnya! Ya, ya, kita bersantapan makanan ruh, kemudian kita bersantapan makanan fizikal pula. Biar seimbang!


Dewasa ini, tumbuh lagi industri Muslim. Radix Fried Chicken menawarkan alternatif kepada mereka yang 'hantu ayam goreng'. Kalau dulu hanya ada KFC, sekarang ada pilihan baru. Dan, khabarnya sambutan sangatlah menggebu-gebu, tetapi ... "kita harus ingat, tuan-tuan, musuh-musuh Islam sentiasa tidak senang kalau industri dan perniagaan Islam maju dan diterima oleh orang Islam. Lalu mereka mencari 1001 jalan demi menghancurkannya."

Kejatuhan produk Muslim, Zaitun Indutrial satu masa dulu dengan taktik kotor oleh musuh perniagaannya saya tambahkan sebagai contoh yang hidup. Bahawa, kalau bukan Muslim yang membantu Muslim (walaupun dengan harga yang sedikit mahal!), siapa lagi yang mahu menolong perniagaan Muslim? Siapa lagi? Bahawa lagi, kehidupan kita bukan untuk mendapat untung dunia saja, untung peribadi saja, tetapi lebih jauh, sangat jauh ... akhirat!

Kemudian, sebelum menoktah kalam, kami bicarakan peranan Persatuan Pengguna Islam Malaysia, sumbangan kita dan peranan kita. Banyak, terlalu banyak! Bermakna, kita tak boleh duduk senang, hanya berfikir untuk keuntungan diri, kehidupan hanyalah untuk bahagia di dunia, sebaliknya berfikir panjang ... meski ada jalan yang sempit dan sukarnya untuk mencapainya, kerana kehidupan kita bukannya di sini, kerana kehidupan kita juga untuk kebahagian yang kekal di negeri akhirat ...


Oh, semangkuk sup dengan sekeping roti, di bawah dingin sejuk musim salju, disulam tawa persahabatan, enaknya, tak terkata!

"Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini
telah bertemu kerana mengasihiMu,
bersatu memikul beban dakwahMu,
hati-hati ini telah mengikat janji setia,
untuk menyokong dan mendaulatkan syariatMu,
maka eratkanlah hati-hati ini!"

Khamis, 18 Jun 2009

SURAT 37 : UKHUWWAH ... KERANA IMPIAN KITA MASIH JAUH

Assalamualaikum,

"Anisah tak ada!"

"Macam mana boleh hilang? Sudah cari di dalam? Keretapi akan sampai dalam 5 minit lagi, bukan?" tukas saya. Lensa kami bertembung. Ketua rombongan pelajar perempuan terdiam. Raut wajahnya memancarkan rasa bersalahnya. Memandang wajah jernihnya, saya pantas kasihan.

"Begini, saya dan beberapa pelajar lelaki akan cari Anisah. Kamu cuma pastikan semua pelajar perempuan kumpulan kita cukup, dan tunggu di tepi platform, nanti saya akan ke sana semula."

Kacau!

Kami, dalam kira-kira 20 orang jumlahnya, lelaki dan perempuan, khususnya yang di kawasan Kantou dalam perjalanan pulang dari Winter Gathering di Ehime, kepulauan Shikoku. Sudah kebiasaan, apabila pergi mengembara begitu, kami lebih senang menggunakan tiket seisen jyuhachi kippu, tiket multiple entry yang harganya lebih murah. Maknanya, kita boleh pakai tiket tersebut sejauh mana yang kita mampu pergi, tetapi dengan syarat dalam hari yang sama.

Jadi, kita harus merancang betul-betul masanya perjalanannya, terutama jadual ketibaan keretapi dan bertolak keretapi yang seterusnya agar kita dapat 'melompat' ke dalam keretapi 'sambung-sambung' yang akan membawa kita ke destinasi yang lebih depan. Kalau gagal 'melompat' mengikut masa bertolaknya, maknanya kita sudah terlepas satu keretapi dan harus menunggu keretapi yang seterusnya. Beerti, kita sudah kerugian masa di situ. Maka, semakin pendeklah jarak perjalanan yang mampu kita pergi dalam hari yang sama.




Hari itu, kami berhenti di sebuah stesen keretapi yang atas sedikit dari bandar Okayama. Pertama untuk makan tengahari, dan menunaikan keperluan diri, ke tandas misalnya. Dan kemudiannya, kami jamak Zohor dan Asar sekalian di situ. Seronoknya, kami malah berjemaah. Sesuatu yang saya sungguh rindui akannya pada saat saya menulis entry ini.

Setelah memilih beberapa pelajar lelaki untuk mencari Anisah (dan seorang lagi temannya), kami berpecah menjejakinya. Saya cari di sekitar kedai-kedai soba, yang sentiasa penuh dengan orang yang makan meenya sambil berdiri. Ya, kedai soba di tepi landasan eki ini selalunya tanpa kerusi! Slurrp! Slurp! Bunyi orang menghirup kuah mee itu tak berjaya menggoda kerna saya sedang berperang ... dengan masa!

Tak ada! Saya mencari di kedai-kedai buku. Tak ada juga, aduh!

Hatta, dalam berlarian, anak mata ke hulu ke hilir, ada teman yang mencari ke platform-platform yang lain. Manalah tahu, kalau-kalau Anisah tersalah platform. Selalunya, kalau ryouko begini, benda yang wajib ialah buku jadual keretapi. Itu satu kemestian! Keretapi nombor berapa, platform berapa, jam bertolaknya, semuanya lengkap dan sangat membantu. Ibaratnya: tanpa buku ini bagai seorang buta berjalan tanpa tongkat 'hikmat'nya - tergagau, terraba-raba.

Pecah peluh tengahari yang sejuk itu. Jadual keretapi di Jepun ... faham-faham saja lah! Kalau dijadualkan akan bertolak jam 12:13 tengahari, takkan lewat walau satu minit. Sedangkan orang Malaysia memang terkenal dengan jam yang lembab baterinya ... err, maksud saya, sering terlewat!

"Anisah tak jumpa!" Kami bersatu semula di tepi platform. Sudah ada makluman yang keretapi akan tiba dalam masa kurang dari 1 minit. Saya menghela nafas. Ketua pelajar perempuan menundukkan wajahnya. Saya menangkap rasa bersalah yang menari-nari di atas air mukanya.

"Begini ..."

Kepala keretapi sudah menjengul. Keputusan harus lekas, dan tepat pula. Hampir semua daripada kami sudah sedia berbaris panjang, ada tongkol-tongkol beg besar atas jemala bahu masing-masing. Maklumlah kem sepertinya khemah ibadah hampir satu minggu, segala keperluan harus disumbat masuk untuk memudahkan kembaraan.

"Yang lain naik saja keretapi ini. Tinggal saya mencari Anisah dan seorang lagi tu ... kemudian kita akan berjumpa di hentian seterusnya."

Saya sudah 'merancang' jadual baru. Kumpulan besar harus pergi dulu, seperti yang dirancang. Tetapi, dalam 15 stesen di hadapan, keretapi mereka akan berhenti dan perlu 'melompat' ke keretapi lain pula untuk terus membawa mereka ke depan. Saya tengok, dengan keretapi kedua nanti pun, saya dan Anisah yang ketinggalan masih sempat mengejar kumpulan besar, tetapi jangka masa 'melompat' keretapi ke keretapi sangatlah pendek. Risikonya tinggi kalau dalam kumpulan besar, belasan orang misalnya. Kalau dalam 2-3 orang, mungkin bisa diatur.

"Ok."

Prittt! Keretapi berlalu. Saya termanggu. Dalam 5 minit Anisah dan temannya datang. Wajah sugul, "Maaf sempai! Saya ke tandas tadi. Tak sangka kena beratur panjang, dan tak sempat nak bagitau sesiapa pun ..."

Melihat wajahnya, saya yang mahu marah jadi kendur ... kasihan!

"Tak apalah. Tetapi, kena ingat juga ... kita dalam musafir, ada ketua. Ada adab."

Marah melonjak itu saya ganti dengan senyum ... agar nasihat saya itu singgah sebagai penawar.

"Ya, ya ... minta maaf, sempai!"

"Mungkin ada hikmahnya ... Ini pun salah-satu silibus-silibus hidup berjemaah."

Meski sejuk menyapa, ada mentari yang menyinar. Saya belikan Anisah dan temannya masing-masing setin kocha yang rasanya seperti teh tarik Malaysia, di tepi platform kami menunggu densha seterusnya. Sambil telinga dipasangkan nasyid entahkan apa dari Mini Disc, kami masing-masing termenung ... memuhasabahkan diri!

KENANGAN YANG MENGGAMIT

Nota: Masjid Kobe, 3 malam kami berkampung di sini!


Ah, itu cerita lama. Tetapi yang lamalah yang manis di kenangan!

Ya, detik-detik cemas, suka, duka, berteman, berkembara, bersolat ramai-ramai di tepi landasan eki sedang orang Jepun memandang terpinga-pingga, tersangkut di stesen Shizouka ketika pulang dari Winter Gathering di Toyohashi kerana salji tebal yang menyekat laluan keretapi, tertinggal shinkansen ketika mahu ke Summer Camp di Nagaoka, mengejar kapal yang sudah sedia belayar seusai perkampungan musim sejuk di Oita, hampir berkemalangan ketika berkereta dari Ibaraki ke Hiroshima yan jauhnya hampir 1500 km, menapak berkilometer kerana sampai tengah malam gara-gara tertinggal keretapi, dan ... dan ... dan ... ah, senarainya terlalu panjang, dan terlalu manis pula untuk dikenang!

Dan, kenangan-kenangan itulah yang telah menjadi tiang dan tapak untuk saya membina dinding kerangka kedewasaan, dan kemudian bumbung kematangan, kematangan sebagai seorang manusia yang manusiawi, Islam yang Mukmin, dan mungkin juga ... pemimpin yang terpimpin!

Untuk adik-adik, kouhai-tachi saya di Jepun, saya tahu mereka akan, sedang, dan sebahagiannya baru saja berkampung di Sendai Mosque, di Nagoya University ... di mana lagi ya, untuk program Jalinan Ukhuwwah, nasihat saya ... kejarlah detik-detik itu kerana pada saat kalian menjadi seumur saya ada benda manis yang mahu dikenang.

Kejarlah mutiara-mutiara yang turun dari langit, kerana harganya ... terlalu lebih mahal dari mutiara yang di dasar bumi. Mutiara itulah kemudian yang akan menyuluhi kalian, ya, sebagaimana saya bersuluh dengannya hari ini. Percayalah!

Ribatkanlah, ikatkanlah hati-hati kalian dulu, agar kemudian lebih mudah mengikat kepala, justeru menyatukan fikir dan fikrah.


IMPIAN YANG JAUH

Minggu lepas juga, jauh di tanah bonda, teman-teman yang sama-sama naik-turun, mengejar dan dikejar densha itu, daripada Alumni-Jepun berfamili-day di Berinchang, Cameron Highland. Kalau dulu, kami solo-solo saja, minggu lepas akan riuh-rendah dengan suara tawa dan tangis anak-anak, anak-anak Jepun! Kalau dulu, mungkin biasa-biasa saja ... sekarang, ah ... sudah maju, maju ke depan, err .. terutama bahagian perut.

Cemburu sungguh saya!

Tetapi, seperti yang selalu saya sebut kalau bertemu, "Perjalanan kita masih jauh. Impian kita masih di langit. Apa yang kita buat semalam, belajar, berguru, kemudian mencipta persahabatan, apa yang sedang kita buat saat ini, mengasah gergaji-gergaji ilmu, mencanai semula sinar-sinar persahabatan ... adalah untuk melihat Islam pada esok hari diberi warna atas muka bumi Tuhan. Dan warna itu adalah warna gemilangnya yang lahir dalam warna-warna keadilan, kesejahteraan, dan wara rahmat Tuhan.

Tetapi, jangan ditanya, bila? Yang harus ditanya, sudah mulakah usaha atau belum?"

Impian kita masih jauh, tetapi persahabatan itulah batu lonjaknya. Dari situlah kita akan melonjak, kemudian naik ke langit, mencapai bintang-bintang ... dan nah, dunia kita titipkan tiap-tiap daerah dengan bintang ... bintang Islam.

Ya, impian kita masih jauh, tetapi kita takkan berhenti!

Rabu, 17 Jun 2009

SURAT 36 : MENULISLAH UNTUK DIBACA!

Assalamualaikum,

"Kalau anda berada di luar negeri, menulislah!"




Petang tadi saya ditemuramah oleh seorang wartawan Berita Harian, bahagian Sastera, Shika. Ya, pengalaman pertama, sebagai seorang penulis. Apatah lagi, temuramah itu dilakukan secara maya, ikut YM. Betapalah dunia di hujung jari ini telah memendekkan jarak dan merangkumkan dua daerah dalam sebuah portal bicara.

Ada 2 isu utama yang ditanyakan kepada saya. Pertama adalah sindrom penulis wanita yang memilih 'bersara pilihan', berhenti berkarya sebaik saja mereka berkahwin. Akibatnya angkatan penulis wanita 'mati' awal, seawal usia 30-an. Sayang, bukan? Maka itu, senarai Sasterawan Negara yang 9 orang kesemuanya jumlahnya itu tak menyelitkan walau seorangpun dari gen Hawa. Mungkin ini salah satu penyebabnya, selain faktor-faktor lain yang menyumbang sama.

Ya, tinggalkan tentang isu penulis wanita ini. Tulisan ini lebih memberikan fokus kepada isu kedua; menyentuh tentang rakyat Malaysia, terutama golongan pelajar agar menulis ... menulis hingga menjadi sebuah buku untuk diterbitkan secara komersial.

"Sayanglah. Pelajar kita ada di mana-mana, Timur Tengah, UK, US, Asia Timur, Australia, pendek-kata mana tanah sekalipun, akan adalah orang Malaysia. Tetapi, mana karya-karya mereka? Pengalaman-pengalaman mereka, budaya orang luar, terutama yang baik-baik, jerit-perih untuk mendapat segulung ijazah, semuanya harus dirakamkan dalam bentuk tulisan, buku untuk dikongsi baca oleh sebahagian lagi rakyat Malaysia yang tak berpeluang."

Demikian saya melontar hujah pemula. Sementara itu saya tetap sibuk. Berkejar ke sana-sini, sekejap di tingkat bawah, sekejap di tingkat atas. Ada tugasan yang harus disiapkan. Esok, TYT Pesuruhjaya Tinggi pulang ke Malaysia kerana ada program rasmi. Jadi, saya harus serahkan draf kad jemputan untuk Majlis Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan pada 31 Ogos nanti petang tadi juga. Lambat lagi? Tak lah! Sekarang baru proses draf, dicetak sendiri ayat-ayatnya, dipadankan dengan alamat tetamu jemputan, kemudian dikirim. Proses seterusnya menanti jawapan. Uih, panjang prosesnya, dan banyak tangan kena dilalui, jadi eloklah bermula awal.

Hidayah Cinta, novel pertama saya, misalnya. Saya melihat faktor yang melonjakkan jualannya, selain daripada kerja keras bahagian Sales PTS ialah kerana pemilihan latar belakang Jepun, yang di luar lingkungan kebiasaan novel di Malaysia dewasa ini. Saya rasa, kalau dengan mutu tulisan saya yang 'merangkak' sebegitu, tanpa dipadankan latar belakang luar negara, khususnya Jepun, mungkin jualannya agak lembab. Pasti!

Ketika pertama kali bertemu dan bersembang dengan Trainer Penulis Bestseller, Tuan Faizul Naim saya sempat bersembang dengannya tentang corak kemahuan pembaca novel di Malaysia. Katanya, "boleh dikatakan hampir lengkap tentang kehidupan di Malaysia ditulis dalam novel. Hari ini, pasaran mahukan novel-novel yang membawa tema luar negara."

Novel Ayat-ayat Cinta membawa lanskap Mesir kepada rakyat Indonesia, Salju Sakinah oleh Zaid Akhtar mengupas kehidupan pelajar Jordan, John Norafizan dari Creative Interprise pula telah mengetengahkan naratif kotaraya Manchester kepada pembaca Malaysia melalui Sempadan Tanpa Seri dan Berikan Aku Satu Bintang. Dan saya kira jualan kesemua novel di atas menggebu-gebu.

Tetapi, itu saja tidak cukup! Mana cerita-cerita dengan latar belakang India, misalnya? Khabarnya ramai pelajar Malaysia di sana. Cerita dari Russia, Perancis, Korea Selatan, hatta Indonesia yang dekat sekalipun, mana? Saya cukup yakin selera pembaca di Malaysia hari ini lebih terarah kepada suasana, budaya, latar belakang negara-negara di luar. Industri perfileman atau drama Malaysia sudah memulainya melalui Cinta Antara Benua dan Cinta Madinah (hanya sekadar contoh), tetapi industri buku masih agak tertinggal lagi, paling tidak, hingga saya menulis sekarang.

"Tetapi, bakal-bakal penulis ini harus didorong dan dibentuk. Mereka tak jadi sendiri-sendiri. Penerbit-penerbit mungkin boleh 'menyerbu' pusat-pusat persediaan pelajar, adakan bengkel, atau kursus pendek. Dedahkan kepada mereka tentang potensi pasaran besar yang sedang terus berkembang. Maklumkan, ada penulis sepenuh masa yang suda boleh hidup senang dengan duit royalti."

Demikian, saya mengimbangkan hujah. Shika dilihat (saya bayangkan wajahnya di depan komputer) terangguk-angguk membaca tulisan-tulisan saya.

Saya telah menjenguk banyak blog-blog penulis, khususnya yang muda-lela. Ternyata, mutu tulisan mereka, dan isu-isu yang diangkat oleh sebahagian daripada mereka saya kira jauh lebih matang berbanding saya pada usia saya sebaya mereka, hatta lebih matang daripada corak fikir saya saat ini sekalipun. Cuma, sayangnya ... penulisan di blog ini berakhir di situ, tak membawa, atau dipandu ke mana-mana!

Penerbit Galeri Ilmu telah mengambil langkah awal, Travelog Rindukan Bau Buah Tin oleh Ustaz Hasrizal yang membawa latar belakang Jordan, dan Langit Ilahi oleh Hilal Asyraf adalah 'anak' blog, kemudian menjadi dewasa sebagai sebuah karya Travelog Dakwah yang berjaya sampai ke tangan pembaca. Mana yang lain? Saya yakin ada ratusan blog yang lain, dari selatan di New Zealand hingga paling utara di Russia atau Canada, kenapa tak membesar menjadi buku-buku yang menghiasi toko-toko Popular, Kunikoniya, mahupun MPH? Sesuatu harus dilakukan!

Saya juga menyebutkan kepada Shika, kalau Kumpulan Utusan boleh berbangga dengan Hadiah Kumpulan Sastera Utusan yang dianjurkan saban tahun, mengapa Kumpulan NSTP tak boleh menganjurkan Sayembara Novel-novel Kisah Luar Negara, misalnya? Gergasi-gergasi media ini harus mendorong, sekaligus berperanan dalam memandaikan anak bangsa, memberikan pencerahan, menyuluh budaya-budaya yang asing yang baik, yang buruk juga, malahan.

Tun Mahathir semasa berucap di depan pelajar Malaysia di Tokyo sekitar tahun 2002-2003 meyebutkan: yang kita mahu belajar dari Jepun bukan saja yang baik-baik, tetapi juga budaya buruknya. Untuk apa? Supaya orang Malaysia tak tersandung membuat keburukan yang sama seperti orang Jepun! Kami satu dewan tertawa, tetapi kata-kata Tun itu benar. Kita mahu belajar yang baik untuk diikuti, belajar yang buruk untuk dijadikan sempadan agar kita tak terlepas lewat dari garisannya.

Jadi, pokoknya menulislah! Kongsikan setiap derap tapak anda di tanah orang dalam bentuk tulisan-tulisan, buku khususnya kepada orang di tanah bonda. Fahamilah, mereka membayar cukai, dan wang cukai itu digunakan buat biaya kehidupan kita di tempat orang, pulangkan semula ... paling tidak dalam perkongsian ilmu!

Selasa, 16 Jun 2009

SURAT 35 : DI SISI, AKU TETAP BERDOA!

Assalamualaikum,

"Abang, bagaimana kalau kita buat makan-makan hujung minggu ini? Untuk teman satu makmal?"

Saya sedang membetulkan tali leher merah. Tali merah dengan imej @ kecil-kecil itu dihadiahi delegasi Jabatan Audit Malaysia yang datang seminggu mengaudit kami di Canberra. Ilham sedang menyanyi entah lagu apa di ruang tamu.

Pagi di luar, mentari jingga mulai memeriahkan tanah Canberra. Pasti hari ini kurang dingin, tak seperti minggu lepas yang suhu pagi sentiasa berada hampir dengan angka 0 darjah. Kerana dingin, lepas Subuh selalunya mahu kembali beradu lagi. Aduh!

"Jemputlah, apa salahnya. Sabtu atau Ahad?"

"Tak pasti lagi."

"Jangan Ahad, biar Sabtu."

"Kenapa?" Pintas isteri. Dia pun sedang ghalit membetulkan tudung polosnya. Kami berebutkan sekeping cermin tua yang juga mahu roboh, sepertinya rak buku saya. Biasalah, rezeki orang bagi! Daripada dibuang orang, baik kami yang 'biasa-biasa' ini gunakan!

"Ahad ... kan Ahad kita ada talk tentang Zakat dan Haji di HICOM."

"Oh, terlupa! Nanti saya jemput, ya?"

Saya angguk.


Saya melihat kejayaan seorang pelajar pasca-ijazah, PhD misalnya tak tergantung sepenuhnya kepada pelajar itu semata-mata. Banyak lagi faktor luar yang memberi impak; kecil dan besar kepada sebuah kejayaan segulung ijazah dan sepangkal nama DR di pangkal nama asli.

Kata Professor Madya Mohd Hamdi, mentor saya beberapa ketika sebelum saya berangkat menemankan isteri menyambung pengajiannya, "kena banyak bantu isteri. Kena lebih bertolak-ansur, dan mendengar masalah yang akan dikongsinya."

Nasihat itu berbekas.

Kemudian beliau bercerita pengalamannya, "semasa saya di Kyoto, sangat mencabar. Tangan kiri pegang jurnal sambil membaca. Di bahu kanan, ada anak yang kena didodoikan ... jenis suka bangun dan menangis tengah malam."

Saya meneguk air liur. Terasa payau pahit, seperti pahitnya hari-hari depan yang perlu saya tempuh, rempuh dan lalui sebagai seorang suami pelajar pasca-ijazah. Keresahan itu berganda jadinya mengenangkan isteri saya tanpa asas Master. Isteri melompat, dari ijazah pertama kepada ijazah PhD. Bimbang saya jadi beribu-ribu saat itu. Hanya pada Allah tempat saya memulangkan sejuta kerisauan yang bergulung-gulung dan melambung-lambung itu.

Sekurang-kurangnya anak saya, Ilham jenis yang 'boleh kira'. Masa tidur malam, memang jendera sungguh dia. Hatta semasa dalam pantang (selepas 34 hari ditahan di inkubator Hospital Serdang) sekalipun, Ilham tak banyak kerenah. Pendekkata, memang nyenyak dia tidur (ibu bapanya pun tumpang nyenyak, aduh!) Jadi, saya terselamat daripada satu cubaan, anak!

Ya, mereka yang di belakang tabir kejayaan isteri kelak adalah teman-teman satu makmalnya. Merekalah madu tambahan kejayaannya, InsyaAllah, dan sekaligus racun juga ... kadang-kadang. Maka itu, hampir setiap malam sebelum mata tertutup, saya harus membuka telinga mendengar ceritanya di makmal kimia. Cerita salah faham antara teman makmalnya dengan pembantu makmal yang tegas orangnya, cerita teman makmalnya yang mudah putus asa, dan pastinya kisah-kisah kegagalan dan kejayaan tangga-tangga eksperimennya demi naik ke puncak yang dinamai kelulusan segulung ijazah. Meski saya tak pandai sangat, tak faham benar, saya buat-buat faham, berfikir secara logik dan memberikan pandangan apa yang difikirkan kena. Apa lagi sumbangan yang boleh saya bantu?

Saya rasa ini kali pertama idea untuk menjemput teman-temannya ke rumah untuk makan-makan ini timbul. Sebetulnya, saya sudah lama ingin berkenalan dengan mereka, mereka yang banyak membantu perjuangan isteri. Tetapi, mungkin tiada ruang masa yang sesuai. Hanya Sabtu ini, kalau tiada aral ... setelah hampir 2 tahun, dan barulah kesempatan itu datang. Tak apalah, biar lambat daripada tak kenal langsung!

Beberapa ketika saat belum mulai jemari mengertis atas papan kekunci, saya terfikir, "kenapa tak diajakkan sekali David?"

Nanti saya cadangkan.

Paling memberi pengaruh kepada kejayaan tesis isteri saya, pastilah supervisornya, David Ollis. Oh ya, orang sini betul merendah diri (?) sekaligus friendly - mereka tak suka nama Dr, Assc. Prof, atau Prof diletakkan di depan nama panggilan mereka. Kalau berbual dengan Dr. David Ollis, misalnya, isteri saya membahasakan 'David' saja. Pelik dan terasa janggal, tetapi ini budaya mereka, apa boleh buat!

Dari apa yang saya tahu, daripada cerita-cerita isteri, pertemuan sekali dua dengan David, dia seorang yang bertimbang-rasa dan motivator juga. Ah, saya senang perihal ini. Isteri saya ... apatah lagi. Ini satu kemujuran di balik sebuah kesusahan! Tetapi, selama mana kita selalu mahu berharap dengan kemujuran, melainkan kita harus ikut dengan usaha yang tak kenal putus asa.

Segalanya aturan Tuhan, saya percaya itu!

Perguruan isteri saya dengan David pun sebahagian dari aturanNya. Saya masih ingat, isteri saya hampir-hampir memilih untuk ke Edinburgh, Scotland. Mujur juga. Setelah diselidiki bakal supervisornya, yang katanya prestasi dan kertas kerjanya ternyata lebih banyak berbanding David Ollis ini ... oh, bakal supervisor yang di Edinburgh itu berbangsa Yahudi. Tuhan! Entah kebetulan, selepas itu UPM hanya benarkan isteri saya mencari universiti yang di sebelah selatan saja. Ya, semuanya kebetulan ... pada balik aturan Tuhan yang serba teliti dan berhijab!

Perjalanan kami, isteri terutamanya sudah lebih daripada separuh. Getir, bersulam suka menghiasi derap langkah kami di tanah orang. Sedang jauh di Malaysia, saya tahu ramai yang menanti. Bukan saja keluarga yang terlambung rindu, anak desa yang menagih ilmu yang diceduk di negeri orang. Oh, bukan senang ...

Kayuhan takkan berhenti, hinggalah sampai ke pulau jaya. Dan saya akan tetap di sisi, menemankan dalam doa dalam harap ...




"Perjalanan Ummi masih jauh, Ilham. Ada bukit tinggi, ada gemawan kelabu. Tetapi, kita takkan sesekali mengalah, Ilham!"